'Saya Tak Nampak Dia, Tapi Dia Nampak Saya' .. So Sweet Kisah Cinta Mereka Ni..

Hubungan terjalin menerusi panggilan telefon sebelum ini akhirnya melahirkan bibit-bibit cinta buat pasangan kurang upaya (OKU) yang membawa ke jinjang pelamin.


Bagi Mohd Ruzi Adam, 46, yang cacat penglihatan, biarpun hanya berpeluang mendengar suara pasangannya, Siti Aisyah Zubir, 26, yang cacat fizikal sejak kecil, namun ia sudah cukup memberi isyarat bahawa itulah jodohnya.

Menurut Mohd Ruzi, dia tidak pernah terdetik di fikiran untuk ke jinjang pelamin kerana menyedari dirinya seorang OKU dan hanya bekerja sebagai tukang urut.

Bagaimanapun, setelah berkenalan dengan Siti Aisyah yang diperkenalkan oleh kakak angkatnya ketika sama-sama di Bengkel Sri Sembilan, Mambau, di sini tahun lalu, ia telah membuka hatinya untuk melamar wanita itu hanya selepas beberapa minggu berhubung secara serius.

“Saya tak nampak dia, tapi dia nampak saya. Walaupun begitu, saya tahu yang dia baik orangnya kerana kami selalu berhubung melalui telefon.

“Bila keluarga saya pergi masuk meminang tahun lalu, saya tak sangka dia bersetuju dan kami akhirnya membuat keputusan untuk bertunang pada 26 September dan bernikah pada 25 Disember lalu,” katanya yang berasal dari Serting, Jempol.

Sementara itu, Siti Aisyah memberitahu, pada awalnya dia malu untuk mengenali suaminya dengan lebih rapat dan hanya memandang dari jauh ketika sama-sama belajar di bengkel.

“Sehinggalah selepas saya tamat belajar di bengkel berkenaan, kakak angkat kepada suami saya beritahu ada seseorang mahu bertanya khabar.

“Jadi saya beranikan diri untuk hubungi suami dan tak sampai sebulan kami berkawan rapat, suami hantar rombongan meminang di rumah keluarga saya di Mersing, Johor,” katanya pada majlis menyambut menantu di Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Harapan di Taman Tuanku Ja’afar, di sini semalam yang turut dihadiri Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar.

Menariknya, ia menjadi majlis pertama untuk pasangan OKU yang diraikan di situ oleh pengasasnya, Datuk Ali Azizan Hang Tuah dan isteri, Datin Siti Fadilah Sharip yang mana kosnya ditanggung mereka.

Sementara itu, ketika ditanya bagaimana dia boleh terpikat dengan suaminya, Siti Aisyah berkata, sikap suami yang baik serta suka bergurau membuatkan dia terbuka hati menerima kehadiran Mohd Ruzi sebagai teman hidupnya. -  SH


Post a Comment