[5 GAMBAR] Luahan Sayu Isteri Allahyarham Kapten Hasman 'Ketika lihat jasad, saya sebak melihat itulah dia'

"Ketika lihat jasad, saya sebak melihat itulah dia (suami)... itulah matanya, hidungnya dan sempurna," kata isteri Allahyarham Kapten Hasman Hussin, Siti Hazwani Ahmad. 

Siti Hazwani berkata, pada mulanya dia tidak mahu mempercayai jasad yang dibawa pulang itu adalah jenazah suaminya, malah menganggap bertukar jasad. "(Bagaimanapun)... saya kena terima itulah dia.

Walaupun sukar tanpa suami, saya berjanji tak mahu menangis dengan ujian ini kerana perlu kuat demi anak. 








Penganti kerinduan
2nd twin : Muhammad Aqil Solihin
Mirip wajahnya. Serupa cuping telinganya. Sama bentuk jari jemarinya tangan dan kaki. Serta kuat fizikal dan pejal badannya . 100% copy paste. Termasuk kulitnya. - Siti Hazwani 

"Anak sulung (Muhammad Afiq Tahfiz, 3) sudah bertanya siapa nak main dengan Afiq ketika melihat (jenazah) ayahnya di dalam keranda," katanya ketika dihubungi, malam ini. 

Siti Hazwani berkata, dia masih teringat suaminya menyediakan hidangan untuk makan malam sebelum melahirkan anak kembar pada 9 September lalu. 

"Saya masih ingat lagi masakan terakhir, siakap kukus yang arwah buatkan pada malam sebelum saya bersalin. 

"Sepanjang saya hamil, arwah jaga dan tatang saya seperti minyak yang penuh," katanya. Siti Hazwani juga menyifatkan Allahyarham suaminya seorang yang sangat romantik dan penyayang sepanjang tempoh perkahwinan mereka selama lima tahun. 

"Saya rasa kehilangan yang besar, tetapi Allah bagi ujian ini.

"Dialah tempat saya mengadu, dialah juga kawan. Sepanjang perkahwinan, kami juga tak pernah bergaduh," katanya. 

Sementara itu, adik Hasman, Mohd Hairi, 29, bersyukur kerana semua ahli keluarga diberi kesempatan menatap wajah arwah buat kali terakhir di dalam kargo pesawat sebaik jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

"Walaupun cuma sekitar dua minit tempoh diberikan, ia sudah cukup untuk mengubati kerinduan kami sekeluarga.

"Terima kasih kerajaan Malaysia dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) kerana berusaha membawa balik jenazah serta memudahkan segala urusan sehingga majlis pengebumian selesai," katanya.-BH


Post a Comment