Siapakah Sebenarnya Kevin Anthony Morais...Biodata...

Berita kematian Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Kevin Anthony Morais disifatkan sebagai sesuatu yang merugikan, kata rakan sekerja, majikan dan ahli keluarganya.


Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyifatkan mendiang seorang yang berdedikasi dan boleh dipercayai.

"Dia merupakan pegawai yang baik, dia telah melakukan tugas dia dengan baik dan kami percayakan dia untuk mengendalikan banyak kes penting," katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Kuala Lumpur, pada Rabu.

Sementara itu adik mendiang, Datuk Richard Morais yang membuat laporan polis mengenai kehilangan mendiang 4 September lalu menyatakan abangnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum dilarikan.

"Dia seorang yang pandai menyimpan rahsia dan tidak bercakap mengenai tugasnya dengan keluarga. Dia  juga seorang yang tegas, bukan calang-calang pendakwaraya dan dia lelaki yang mengikut undang-undang dan komitmen terhadap kerjanya," katanya.

Sepanjang kerjayanya, Morais pernah dipinjamkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi.

Berikut antara kes yang pernah dikendalikan Kevin Morais:

* Perbicaraan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Bhd., Datuk Seri Ahmad Zubair @ Ahmad Zubir Murshid atas dua pertuduhan penyelewengan projek tanah adat Sarawak melibatkan kerugian RM100 juta.

* Kes dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dan seorang agen pekerja asing warga Indonesia yang didakwa melakukan kesalahan rasuah bagi urusan prosedur kemasukan warga asing.
* Pengarah Kastam Negeri Perak, Datuk Mohd Nasir Said didakwa atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM80,000 daripada dua individu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap minuman keras import yang tidak dibayar cukai pada tahun 2012 dan 2014.

* Kes Peguam kanan, Rosli Dahlan membabitkan pertuduhan kegagalannya mematuhi satu notis untuk mendedahkan segala maklumat mengenai asetnya. Notis ditandatangani Morais gagal membuktikan peguam itu merupakan seorang daripada sekutu bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Ramli Yusof. Rosli dibebaskan dari pertuduhan itu.

* Kes Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abdul Hanan Alang Endut yang menghadapi 10 pertuduhan rasuah yang melibatkan nilai suapan berjumlah RM59,390.60. Abdul Hanan, 57, dituduh menerima suapan-suapan itu dari 1 hingga 15 Disember 2008 dalam bentuk cek-cek kosong (tanpa jumlah dan tarikh) United Overseas Bank milik Adam Omar sebagai ganjaran kerana meluluskan permohonan TechnoFund daripada Global Goodway (M) Sdn Bhd.

Umur: 55 tahun

Adik-beradik: 4 (sulung)

Status: Bujang

Pendidikan:
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh
Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB), Universiti London

Kerjaya:

1980
Diterima masuk sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya
Menyertai Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman
Dilantik sebagai majistret

1985
Menyertai Pejabat Peguam Negara (AGC)

2004
Dipinjamkan ke Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Timbalan Pendakwa Raya

2014
1 Julai
Kembali bertugas di AGC sebagai Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan

- ASTRO AWANI DAN UTUSAN


Post a Comment