Wanita Maut Dirempuh Van Ketika Sembahyang..

Seorang wanita maut setelah dirempuh oleh sebuah van kilang ketika sedang membongkok untuk melakukan upacara sembahyang di tepi jalan lorong belakang premis perniagaannya di Jalan Wawasan Jaya 3, Taman Wawasan Jaya di sini, semalam.

Kejadian berlaku pukul 11 pagi itu mengakibatkan Tan Sok Kheng, 38, mengalami kecederaan parah di bahagian belakang badan akibat digilis van tersebut yang tiba-tiba membelok masuk ke lorong berkenaan.


Difahamkan, van terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa yang merupakan peniaga di sebuah premis makanan ringan bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Parit Buntar, kira-kira pukul 1.20 petang semalam.

“Van kilang tersebut dipandu oleh seorang lelaki 27 tahun dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Proses bedah siasat telah selesai dan mayat mangsa dituntut oleh ahli keluarga untuk upacara pengebumian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ooi berkata, dia segera ke lokasi kejadian selepas terdengar bunyi dentuman kuat, namun terkejut apabila mendapati isterinya terbaring di bawah van berkenaan.

“Saya sempat bertemu dengan pemandu van tersebut dan bertanyakan kenapa dia melanggar isteri saya. Pemandu itu mengaku dia tidak nampak akan kelibat isteri saya, malah menyangka bahawa dia telah melanggar seekor anjing,” katanya.


Post a Comment