Tiada Bukti Datuk Sosilawati Lawiya, 3 Pembantu Dibunuh & Dibakar...

Tiada bukti menunjukkan bahawa jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang pembantunya dibunuh dan mati dibakar Mahkamah Rayuan di sini, diberitahu hari ini.

Peguam Manjeet Singh Dhillon berkata, pihak pendakwaan tidak mengemukakan apa-apa keterangan pada perbicaraan itu, secara langsung atau mengikut keadaan, bahawa mangsa dikatakan telah mati atau dibunuh.


"Tiada bukti yang ditemui dari Lot 2001 (di Tanjung Sepat, Banting), yang konsisten dengan dakwaan berlaku pembunuhan empat orang di sana," katanya sambil menambah bahawa tiada mayat dijumpai.

Manjeet Singh yang mewakili bekas peguam N. Pathmanabhan juga berkata, terdapat bukti-bukti yang boleh dipertikaikan mengenai sama ada tulang-tulang yang ditemui ialah tulang haiwan atau manusia.

Beliau berkata, cebisan tulang yang ditemui nampaknya telah terdedah kepada kepanasan dan keadaan ini konsisten dengan sisa-sisa serpihan yang ditinggalkan selepas pembakaran mayat.

Manjeet Singh berkata, tempat tulang-tulang itu ditemui terletak berdekatan dengan kawasan abu mayat penganut Hindu dibuang ke laut dan kawasan itu terdedah kepada pergerakan air pasang surut dan limpahan air dari laut.

"Tidak dapat dinafikan bahawa apa yang dikemukakan di mahkamah adalah sisa serpihan tulang penganut Hindu tidak terkira banyaknya yang dibuang ke laut sejak beberapa generasi yang terdampar ke tempat ini akibat pergerakan pasang surut air," katanya.

Beliau turut berhujah hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah apabila beliau secara salah menerima barang kes berdasarkan pengakuan dua tertuduh, U. Suresh dan K. Sarawanan, yang masing-masing dituduh membakar mayat mangsa dan membuang abu mayat di Sungai Panchau.

Manjeet Singh berkata, barang kes diterima secara salah pada perbicaraan dan secara salah digunakan sebagai keterangan substantif atau keterangan menyokong.

Beliau berkata, Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, masih hidup dan boleh dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan pada perbicaraan.

Kedua-dua mereka kini menjalani hukuman penjara 20 tahun setiap seorang kerana melupuskan bukti berkaitan pembunuhan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali mendengar rayuan itu yang dikemukakan oleh Pathmanabhan, 45, dan pekerja ladang T. Thilaiyalagan,     23, R. Matan, 24 dan R. Kathavarayan, 35, terhadap sabitan dan hukuman mati atas pembunuhan Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati iaitu Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010.

Manjeet Singh juga berhujah bahawa tiada wang yang kena bayar atau terhutang kepada Sosilawati kerana beliau telahpun mengutip bahagiannya dalam pembayaran pendahuluan bagi penjualan tanah di Pulau Pinang pada Oktober 2008.

"Hakim terkhilaf dari segi fakta dan dan perundangan apabila berganjak daripada dapatan beliau pada akhir kes pendakwaan bahawa perayu pertama (Pathmanabhan) tidak mempunyai wang dalam akaunnya untuk membuat bayaran kepada Sosilawati, wang yang perlu dibayar hasil penjualan tanah di Pulau Pinang," katanya.

Thilaiyalagan diwakili oleh peguam Gurbachan Singh, Matan dibela oleh peguam Amer Hamzah Arshad dan Kathavarayan diwakili oleh peguam M. Stanislaus Vethanayagam. Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd
Yusoff.

Perbicaraan bersambung. - Bernama


Post a Comment