Hajat lima beranak buat kejutan tidak kesampaian..AL-FATIHAH..

Hajat lima beranak ini mahu membuat kejutan apabila pulang ke kampung mereka di Kampung Baru, Kimanis dekat sini seminggu awal untuk bertemu sanak-saudara. Namun, rancangan berkenaan bertukar tragedi apabila pacuan empat roda yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di laluan bertentangan di Kilometer 40, Jalan Kimanis-Keningau dekat sini semalam.


Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, kelima-lima mereka ialah, Supiati Mohd. Salleh, 53; dan empat anaknya, Nur Fitriati Sukarno, 28, yang memandu kenderaan berkenaan serta Eka Sudarmono Sukarno, 37; Dwi Rahmahyanti Sukarno, 35; dan Triana Nur Khasanah Sukarno, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, Muhammad Hamizan Mohd. Khaidir, 2, anak kepada Dwi Rahmahyanti cedera parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) 2, Kota Kinabalu untuk rawatan.

Kesemua mereka bergerak dari kediaman Supiati di Tawau pada pukul 11.30 pagi dengan Dwi Rahmahyanti serta Triana Nur Khasa­nah dikatakan merancang untuk berjumpa ahli keluarga di kampung tersebut selepas sekian lama mene­tap di Kuala Lumpur.

Sehari sebelumnya, kedua-dua mangsa pulang ke Tawau dari ibu negara bagi menghadiri kenduri arwah bapa mereka, Sukarno Muhsin yang meninggal dunia minggu lalu.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden George Abdul Rakman ketika dihubungi Mingguan Malaysia mengesahkan tentang kejadian tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa, Edy Susanto, 56, berkata, lima beranak terbabit sememangnya merancang untuk pulang ke kampung di sini sempena cuti Hari Kebangsaan nanti.

“Tak sangka pula mereka mahu pulang awal. Ini kampung halaman suami kepada Supiati. Tetapi mereka sudah lama menetap di Tawau. Saya diberitahu mereka mahu pulang ke sini dan kemudiannya menghantar Dwi Rahmahyanti dan Triana Nur Khasanah pulang ke Kuala Lumpur melalui lapangan terbang di sini (Kota Kinabalu).

“Anak bongsu Supiati yang kini berada di tingkatan empat di Tawau tidak dapat ikut kerana bersekolah. Saya pun terkejut kerana awalnya mereka mahu datang minggu depan tetapi tiba-tiba dihubungi oleh Eka (Eka Sudarmono) mengatakan mereka sudah mahu sampai ke rumah saya ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, jenazah lima beranak itu disembahyangkan di Masjid Azizurahman, Kampung Baru sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kupang dekat sini pada pukul 11.30 pagi hari ini.



Post a Comment