Terharu...Kisahnya Bapa & 3 Anak Bermotor Balik Penang Beraya...

"Sesiapa sahaja yang mempunyai naluri seorang bapa pasti akan melakukan tindakan sama seperti saya tetapi tidak sangka pula ia mendapat perhatian."



Begitulah kata Ahmad Reza Samsuddin, 38, yang gambarnya menunggang motosikal bersama tiga anak lelakinya berusia antara lima dan tiga tahun menjadi viral di media sosial sejak kira-kira dua minggu lalu.

Gambar Ahmad Reza bersama tiga anaknya, Rafael Haikal, 8, Rafique Danial, 5, dan Danish Bunyameen, 3, yang menaiki Honda EX5 menjadi viral awal Ramadan lalu ketika empat beranak itu dalam perjalanan dari Sepang ke Pulau Pinang.

Menceritakan tindakannya itu, Ahmad Reza yang juga duda, berkata dia sendiri tidak sangka mampu menempuhi perjalanan kira-kira 16 jam dengan jarak 392 kilometer dari rumah keluarganya di Salak Tinggi, Sepang, ke rumah sewanya di Permatang Damar Laut, Batu Maung, Pulau Pinang.

"Awal Ramadan lalu, saya dan anak kedua, Rafique, yang menetap bersama saya di Pulau Pinang, menaiki motosikal ke Sepang untuk menyambut Ramadan bersama dua lagi anak bersama ibu bapa saya di sana (Sepang) selepas bercerai dua tahun lalu.

"Selepas beberapa hari di Sepang, dua lagi anak tiba-tiba merengek mahu ikut kami pulang ke Pulau Pinang. Ketika itu dalam poket saya cuma ada RM50," katanya.

Menurutnya, dalam keadaan terdesak, dia akhirnya nekad membawa bersama dua anaknya itu dan menyerahkan segalanya-galanya kepada kuasa Allah SWT untuk melindungi perjalanannya empat beranak.

"Kami bertolak selepas sahur dan sepanjang perjalanan, kira-kira 10 kenderaan berhenti melahirkan simpati termasuk ada yang menawarkan untuk menumpangkan tiga anak saya itu.

“Namun, saya menolaknya dengan baik dengan mengatakan ini semua adalah ujian Allah SWT buat saya.

"Mereka akhirya memberikan duit raya kepada saya dan anak-anak. Alhamdulillah perjalanan kami dipelihara Allah SWT dan kami selamat tiba di Pulau Pinang, kira-kira 10 malam," katanya.

Menurutnya, dia tahu ramai begitu bersimpati sehinggakan ada yang bercadang kumpul duit untuk membeli kereta buat dia sekeluarga.

"Saya bukan tolak rezeki. Tapi, tak perlulah bersusah payah sampai begitu. Bukan niat saya untuk meraih simpati orang ramai dengan cara menunjukkan kesusahan hidup kami empat beranak," katanya. - HM

Petikan dari Awani :- 

Gambar empat beranak yang pulang ke kampung dengan hanya menunggang motorsikal merupakan antara kisah yang menjadi viral dan menyentuh hati ramai pengguna media sosial sewaktu musim Aidilfitri yang lalu.

Seorang lelaki dilihat menunggang motosikal bersama tiga anak lelakinya sebagai pembonceng dari Sepang ke Pulau Pinang semata-mata untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Perkara tersebut masih lagi menjadi perbualan hangat, dan seorang pengguna Facebook bernama Abdullah Firdaus Baharuddin baru-baru ini menyatakan kegembiraannya kerana dapat bertemu dengan mereka sekeluarga ketika dalam perjalanan pulang ke ibu kota.

Firdaus melalui akaun Facebooknya berkata, “Allahuakbar. Alhamdulillah Allah temukan aku dengan family ini tadi otw balik kerja. Family ini yang viral di FB sebab balik 4 beranak balik kampung dari Sepang ke Penang.”

Menurut Firdaus, dia terjumpa mereka ketika dalam perjalanan pulang ke Serdang dan walaupun dia dapat mengecam mereka, Firdaus tidak sempat untuk menahan mereka berikutan kesesakan jalan raya.

Difahamkan, pemuda itu kemudian teruskan perjalanan dan menahan mereka berhampiran Putra Heights untuk memberi duit raya kepada tiga kanak-kanak tersebut.

“ Saya teruskan perjalanan sampai exit Putra Heights dan aku berenti bawah flyover dan tahan motor dia dengan niat nak kasi duit raya dekat budak budak ni.

Bagaimanapun, Firdaus sebak apabila ayah mereka yang dikenali sebagai Moza sudi meghulur bantuan kerana beranggapan Firdaus kehabisan minyak ketika dia cuba menahan mereka.

“Tapi ayat pertama keluar dari mulut brother buat aku sebak.."motor abis minyak ke bang? Saya ada minyak lebih.

Dalam keadaan kita tengok dia bersusah payah balik kampung dengan 3 orang anak dan barang penuh motor pun dia boleh keluar ayat nak tolong orang. Semoga anak anak abang ni jadi anak soleh sebab ada ayah yang hebat. InsyaAllah sama sama kita jadi orang yang ringan tangan bantu orang, ” kata Firdaus.

Tindakan Firdaus yang menyatakan kejadian itu menyebabkan kini ramai netizen tampil untuk menghulurkan bantuan kepada Moza dan keluarganya.

Komen orang ramai dan gambar mereka bertemu dengan keluarga tersebut. Ada juga ingin memberikan kereta secara percuma kepadanya.





Post a Comment