Luahan Suami..Salahkah Saya Kahwin Lagi Bila Isteri Sibuk Berbisnes?

Terlalu ramai wanita yang bergelar isteri dan ibu yang melibatkan diri dengan melakukan  kerja di luar rumah pada masa ini terutama di dalam bidang politik, bisnes dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 


Memang elok jika mereka terbabit di dalam kerja seperti itu tetapi seperti yang dikatakan perlulah menjaga batasnya sampai jangan menggugat rumah tangga. Namun kebanyakan yang berlaku hari ini adalah sebaliknya. Jika dahulu isteri lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah tetapi hari ini isteri lebih sibuk di luar rumah daripada berada di dalam rumah. 

Ini menyebabkan keadaan rumah tidak terkawal, isteri melepaskan  tanggungjawab di rumah dan menyerahkan semua bulat-bulat kepada pembantu atau membiarkan anak-anak menguruskan diri sendiri. Keadaan ini akan menyebabkan rumah tangga porak peranda dan suami mencari jalan keluar dengan menjalin hubungan dengan wanita lain bagi mengisi kekosongan hidup yang ditinggalkan isteri. Adakah suami yang perlu disalahkan jika ini semua berlaku? 

Inilah soalan yang ditimbulkan oleh Mizi (bukan nama sebenar) kepada saya di dalam  catatan ini untuk dikongsi dengan pembaca. Saya catatkan kisahnya di sini untuk pertimbangan anda semua. Begini cerita Mizi. 
“Saya berusia 45 tahun dan telah berkahwin serta mempunyai tiga orang anak remaja, seorang lelaki dan dua perempuan berusia  17, 15 dan 12 tahun. Isteri bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat insurans tetapi sibuk juga buat bisnes. 
“Dahulu isteri saya tidak kisah sangat dengan bisnes ini tetapi sejak dia berkawan dengan beberapa usahawan wanita yang telah berjaya, keadaan mulai  berubah. 
“Dia selalu balik lewat malam kerana selepas kerja, dia  ke mesyuarat berkaitan produk yang diusahakannya dengan kawan-kawan. Setahun keadaan ini berlaku. Saya perhatikan sahaja dan pernah juga menegur beberapa kali. 
“Jawapan dia ingin membantu saya menambah pendapatan. Lagipun   dia suka dengan perniagaan yang dia ceburi.  Saya suruh dia berhenti berniaga kerana saya mampu menyaranya dan anak-anak tetapi dia enggan dan teruskan juga. 
“Rumah tangga kami mula go­yang. Dia sudah berani melawan kata-kata saya dan tidak mendengar nasihat saya. Anak-anak terabai dan menguruskan diri mereka sendiri. Mujur dua daripada mereka tinggal di asrama. 

“Daripada mengikuti mesyuarat dan perjumpaan di bandar tempat tinggal  kami, dia dan kumpulannya bergerak ke seluruh negara. Setiap hujung minggu, tidak pernah ada di rumah, ada sahaja program yang dihadirinya. Saya semakin geram, risaukan anak-anak yang tidak mendapat kasih sayang daripada ibu mereka. 

“Keadaan dalam rumah semakin kucar-kacir, anak-anak mula merungut ibu mereka jarang ada di rumah.  Saya mula rimas, makan minum saya turut terabai. Kami jarang bersama sebab isteri terlalu  sibuk dengan urusan di luar  rumah yang entah apa-apa. 

“Dia juga berhenti kerja kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaannya. Tidak dinafikan dia sangat berjaya di dalam perniagaannya sehingga mampu membeli kereta baru, barang kemas dan barang –barang berjenama. 

“Penampilannya juga berubah. Semakin bergaya dan cantik. Me­lancong ke luar negara macam balik kampung. Saya sudah tidak boleh kata apa-apa lagi. 

“Akan tetapi itu bukan yang saya inginkan. Saya mahu isteri saya yang dahulu, taat dan menjadi ibu yang baik serta prihatin dengan anak-anak. Isteri saya sekarang  bukan yang saya kenal dahulu. Nafkah zahir batin saya juga tidak ditunaikannya. 

“Akhirnya saya nekad bernikah seorang lagi untuk memenuhi tuntutan zahir dan batin saya. Apa maknanya ada isteri jika setiap malam tidur seorang diri kerana isteri lambat balik. Hujung minggu pula,  duduk seorang di rumah bersama anak-anak melayan televisyen dan makan di kedai kerana isteri tidak ada di rumah. 

“Saya maklumkan kepada ibu saya tentang hajat saya dan ibu tidak menghalang kerana dia tahu masalah saya. Anak-anak juga saya bagi tahu akan hajat saya itu, tetapi isteri tidak tahu. 

“Isteri baru saya seorang wanita kampung, adik kepada kawan baik saya di kampung. Usianya sudah lewat 30-an  tetapi sangat baik orangnya. Saya yakin dia boleh jadi isteri yang baik dan menjaga kebajikan saya hingga ke akhir hayat. 

“Setelah bernikah, saya bawa isteri kedua saya tinggal di bandar.  Alhamdulillah, seperti dijangka, kebajikan saya termasuk makan, minum, dan pakai saya terjaga.  

“Setiap hari balik dari kerja, dia menyambut saya dengan senyum dan menghidangkan minuman dan kuih buatan sendiri untuk saya jamah. Bayangkan selama ini saya tidak pernah mendapat layanan seperti itu daripada isteri pertama. 

“Saya faham dia bekerja tetapi jika bijak menguruskan masa, saya yakin dia mampu melakukannya demi rumah tangga kami. Tetapi itu tidak berlaku dan keadaan menjadi semakin serius apabila dia mula berniaga. Dia lebih utamakan  perniagaannya daripada saya dan anak-anak. 

“Dia sudah tidak ambil kisah sama ada saya balik atau tidak. Tidak pernah bertanya khabar saya, makan ke tidak. Berjumpa pun jarang, seminggu adalah dua tiga kali sahaja, itupun jika saya ada di rumah. Selebihnya dia hanya mesej atau telefon. 

“Saya tidak kisah dia balik ke tidak. Saya sudah selesa dengan keadaan sekarang. Anak-anak telah menerima kenyataan saya ada isteri lain, selain ibu mereka. Saya yakin anak-anak reda dengan jodoh kedua saya ini.  

“Saya hanya fikirkan bagaimana jika isteri pertama saya tahu tentang pernikahan kedua saya ini. Tapi saya sudah sedia dengan jawapan dan alasan saya. Apa jadi sekalipun, saya tidak boleh berpatah balik lagi. “Isteri pertama saya dapat apa yang dia inginkan tetapi saya tidak. Saya terpaksa mencari kebahagiaan lain kerana dia abaikan kebahagiaan yang pernah kami miliki.  Inilah ketentuan Allah untuk saya dan saya terima dengan hati terbuka. 

“Saya berdoa agar isteri pertama saya sedar dan berpatah balik menghadapi kenyataan hidupnya. Memang dia berjaya dan kaya-raya sekarang tetapi saya tidak fikir dia bahagia dan gembira. Kawan-kawan hanya masa kita senang, masa susah belum tahu. 
“Saya percaya ramai lagi suami di luar sana yang menghadapi masalah seperti saya tetapi tidak mahu buka mulut, sebaliknya le­bih suka berdiam diri kerana tidak mahu bergaduh dengan isteri.  
“Saya nasihatkan mereka ini bersikap terbuka, kalau isteri sudah tidak mahu dengar cakap dan enggan mengalah, sedangkan kita sudah buat yang terbaik, apa lagi yang perlu difikirkan. Bukan kita yang bersikap kejam terhadap mereka tetapi sebagai suami, kita juga perlu menuntut hak kita yang mereka abaikan.  
“Sebagai suami, saya juga perlukan isteri setiap hari di rumah, melayan makan minum saya dan menemani saya tidur. Kalau ada isteri tetapi asyik keluar merayau malam-malam kerana nak kejar duit dan harta dunia, perlukah kita bersabar lagi?  
“Sehingga kini, saya masih belum beritahu isteri pertama tentang madunya. Saya akan tunggu masa yang sesuai untuk memberitahunya atau pun dia akan tahu sendiri, segala-galanya biarlah Allah  yang tentukan. 
Apapun yang berlaku saya sudah bersedia, berani buat berani tanggung. Semoga Allah permudahkan segala urusan  hidup saya selepas ini,’’ kata  Mizi menamatkan ceritanya. Hebat Mizi. Saya kagum dengan ketegasannya dalam menangani isu ini. 

Pada masa yang sama sukar untuk mentafsir tindakan Mizi terhadap isteri pertamanya dan keberaniannya berkahwin satu lagi. Hanya Mizi yang tahu apa yang terbaik untuk keluarganya. Saya tahu ramai isteri yang terkilan de­ngan sikap Mizi tetapi dia ada sebab berbuat demikian. Jadi, para isteri semua perlu berfikir dan jadikan kisah Mizi ini satu iktibar di dalam hidup. 

Saya doakan Mizi dapat selesaikan kemelut ini dengan baik dan hidup bahagia bersama kedua-dua isterinya. Mengundur diri, pesanan ikhlas saya, jangan jadikan kehidupan ini payah sedangkan kita diberi banyak pilihan untuk memudahkan segala-galanya berkaitan hidup. - Utusan



Post a Comment