Siti Kongsi Kisah Peribadi Yang Belum Pernah Diceritakan..

Lebih 220 pengiktirafan dalam dan luar negara diterima Datuk Siti Nurhaliza sepanjang dua dekad melakar nama sebagai penyanyi, namun tidak sekali pun figura tersohor ini mendabik dada.

Bicaranya tetap sama, sentiasa merendah diri dan mesra, malah saban hari makin terbuka berkongsi sisi peribadi yang sebelum ini disimpan kemas.


Barangkali ada yang terlupa, wanita yang mereka sanjung itu juga manusia biasa. Punya hati dan perasaan, pernah dilanda musibah dan berduka.

Siti akui, selama ini orang mengenali Siti Nurhaliza tetapi tidak sepenuhnya dan mereka hanya nampak dirinya sebagai penyanyi dan tidak tahu apa yang dilaluinya di belakang pentas.

“Ini yang bakal saya kongsi dalam konsert muzikal nanti. Mereka dapat lihat kehidupan saya dari zaman kanak-kanak, remaja dan apabila nama mula dikenali pada usia 17 tahun sehingga 20-an.

“Kira-kira 30 peratus sisi yang belum pernah dikongsi akan saya dedahkan,” kata­nya ketika ditemui di majlis pelancaran buku 30 Living Legends, baru-baru ini.

Siti yang beraksi cemerlang dalam konsert unplugged di Panggung Sari, Istana Budaya pada 7 April lalu, akan meng­adakan konsert muzikal pertengahan November depan.

Menerusi konsert itu, peminat akan lebih mengenali siapa itu Siti Nurhaliza. Bagaimana kehidupannya di luar dunia glamor, keperibadian sebenar serta apa yang pernah terbuku di hati selama ini akan dikongsi bersama.

Ia memaparkan perjalanan hidupnya sebagai anak seni dan lebih menarik, Siti akan berkongsi kisah peribadi yang belum pernah dikongsi dengan masyarakat selama ini.

Kata Siti, persembahan muzikal itu menjadi pelengkap kepada impiannya sempena menyambut ulang tahun ke-20 berada dalam industri tahun ini.

“Bagaimanapun, konsert ini bukan medan untuk memperkatakan konflik serta kontroversi yang pernah saya tempuh.

“Idea setakat ini sudah ada cuma perlu mencari barisan pelakon yang bakal menggalas tanggungjawab besar mewakili kisah hidupnya.

“Cadangnya konsert ini akan diadakan pada 14 hingga 22 November depan namun selepas berbincang dengan semua pihak terbabit, kemungkinan ia ditunda pada awal November. Pekara ini masih dalam pertimbangan dan akan saya maklumkan apabila ada keputusan muktamad.

“Saya mencari artis yang boleh berlakon dan menari untuk pegang watak saya ketika kanak-kanak dan remaja. Bagi babak berkahwin dan selepas itu, saya akan lakonkan sendiri.

“Saya akan gunakan segala ilmu dan pengalaman ketika beraksi dalam Teater Muzikal P Ramlee untuk jayakan konsert ini. Walaupun saya bukan pelakon, saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Dalam konsert itu nanti, Siti akan menggunakan khidmat ramai pengarah dan pelajar ASWARA. Malah, Siti juga akan bertindak sebagai pengarah konsert dengan dibantu tenaga profesional.

“Idea konsep dan jalan cerita sudah ada tetapi banyak lagi perkara perlu diteliti untuk padatkan kembara 20 tahun karier saya dalam persembahan berdurasi dua jam,” katanya.

Sebagai pelengkap konsert muzikal itu, buku fotobiografi anak jati Kuala Lipis, Pahang ini akan diterbitkan. Memuatkan koleksi foto dari kecil hingga terkini simpanan peribadi Siti serta yang pernah terpampang dalam akhbar serta majalah, peminat akan mengetahui kembara seni penyanyi tersohor itu.

Apa yang pasti, kata Siti, ada antaranya yang pernah diceritakan dan belum pernah dikongsi sebelum ini.

“Saya serahkan pembikinan buku ini kepada kak Rozi. Sebagai pengurus yang juga kakak ipar saya, dia paling saya percayai untuk hasilkan buku ini. Dia kenal saya sejak di bangku sekolah dan tahu perjalanan hidup saya.

“Ada banyak koleksi gambar yang bakal saya kongsi dan harap peminat puas dan terasa lebih dekat dengan saya apabila melihatnya nanti,” katanya. - HM


Post a Comment