Wajah Terkini Adik Muhammad Firdaus, Lebih Ceria !

Remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah yang diserahkan kepada rumah kebajikan Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah (TSHTAN), di sini, sejak 24 Julai lalu, kini hidup ceria bersama kira-kira 80 penghuni di pusat penempatan itu.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Abdullah Hanapi berkata, remaja berkenaan yang sebelum ini ditemui kurus kering dan tidak terurus pada 21 Jun lalu di rumahnya di Flat Semarak, Taman Semarak, Nilai, dekat sini, mengalami perubahan hidup ketara.
Katanya, paling ketara ialah fizikal Muhammad Firdaus, 15, semakin sihat dan berat badannya meningkat kepada 22 kilogram.
“Di rumah baru itu (TSHTAN), remaja itu bersahabat bersama 80 penghuni membabitkan kanak-kanak berusia antara tiga hingga enam tahun.
“Dia kelihatan ceria, malah membalas senyuman bersama rakannya,” katanya yang dihubungi, di sini, semalam.
Abdullah berkata, melihat keadaan Muhammad Firdaus sekarang, beliau antara yang gembira apabila remaja malang itu berubah kepada lebih baik.
“Syukur kepada Allah kerana Muhammad Firdaus kini memiliki ramai kawan, makan minum terjaga dan dipantau lima penyelia,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, selepas diserahkan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), Muhammad Firdaus yang juga pesakit Cerebral Palsy (CP) atau kelumpuhan otak dipastikan dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital itu mengikut tarikh ditetapkan.
Katanya, hingga kini, lebih lapan kali Muhammad Firdaus dibawa menjalani pemeriksaan fisioterapi, berat badan, otak, jantung dan penyakit sawan di HTJS.
“Saya gembira melihat Muhammad Firdaus yang ceria. Semua ini berkat bantuan semua pihak yang mahu memastikan nasib malangnya terbela.
“Di TSHTAN, Muhammad Firdaus ditempatkan di katil yang lebih tinggi, bimbang sekiranya kanak-kanak lain menghampirinya,” katanya.
Menurutnya, sumbangan kewangan diterima remaja itu juga menghampiri RM100,000.
Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, ibu remaja itu, Lolanopita Sadi, 40, turut beberapa kali melawat anaknya di rumah kebajikan berkenaan “Ibu remaja terbabit ada melawat anaknya untuk mengubati kerinduan iaitu pada hari raya pertama, kedua dan ketiga,” katanya. - HM


Post a Comment